KUALA LUMPUR, 24 Jul – Mana-mana individu, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan majikan yang melindungi serta mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) bekerja tanpa dokumen dan pas yang sah, boleh dikenakan tindakan berat termasuk hukuman denda sehingga RM50,000.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sekiranya individu atau organisasi berkenaan melindungi lebih daripada 5 orang PATI, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara tidak kurang daripada 6 bulan tetapi tidak melebihi 5 tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak melebihi 6 kali.
“Jabatan ini ingin menjelaskan bahawa melindungi PATI adalah satu kesalahan dibawah seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM50,000,
“Sejak 2019 hingga 2021, seramai 979 individu telah dikenakan tindakan undang-undang kerana melindungi pendatang tanpa izin,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, bagi majikan yang menggaji pendatang tanpa izin pula boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi setiap orang pekerja yang diambil.
Sehubungan itu beliau menasihati majikan atau individu yang mengambil PATI untuk bekerja, supaya segera mendaftarkan mereka dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atau Rekalibrasi Pulang yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.
“Setakat Khamis, seramai 155,124 pendatang tanpa izin telah berdaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 102,592 pendatang tanpa izin telah mendaftar dalam Program Rekalibrasi Pulang,” ujarnya.
Menurutnya, PATI yang mendaftar dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dipertimbangkan untuk diberi vaksin COVID-19 bersama warga asing lain yang tinggal di Malaysia.-airtimes.my