PASIR PUTEH, 27 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) telah mengaturgerakkan pasukannya bagi membantu pihak berkuasa tempatan bagi membersihkan kawasan yang terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu.
Markas 8 Bgd menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, seorang pegawai dan 10 anggota dari Batalion Kelima Rejimen Artileri Diraja (5 RAD) diaturgerak bagi membantu mangsa terjejas banjir di Kampung Temila, Kampung Gong Chapa dan Sekolah Kebangsaan Sungai Petai, semalam.
“Kerja-kerja gotong royong membersihkan kawasan kediaman dan sekolah bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), BOMBA dan FRU ini telah dilaksanakan sekitar jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang pada Isnin,” jelas hantaran itu.
Selain itu, anggota dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Para turut digerakkan bagi melaksanakan bantuan pasca banjir di Terengganu.
“Anggota 18 RAMD Para melaksanakan Program Jiwa Murni (PJM) membantu membersihkan kawasan terjejas banjir di Kampung Pengkalan Berangan, Sekolah Kebangsaan Betong, Masjid Pengkalan Ajal, Madrasah Quran Sahabat dan Masjid Tengkawang,
“Seramai 3 pegawai dan 81 anggota telah diaturgerakkan dalam melaksanakan PJM ini,” ujar Markas 8 Bgd.
Hujan lebat pada 16 Disember lalu mengakibatkan beberapa kawasan di Terengganu dan Kelantan dilanda banjir.
Sehingga malam tadi, sebanyak 5 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka dimana ia menempatkan seramai 718 mangsa daripada 246 keluarga di 2 daerah iaitu Pasir Mas dan Tumpat.
Sementara itu, di Terengganu pula seramai 177 mangsa daripada 48 keluarga masih ditempatkan di 2 buah PPS.
Banjir yang melanda negeri ini pada minggu lalu menyebabkan lebih 40,000 penduduk yang terjejas dipindahkan ke PPS di 8 daerah.-airtimes.my