SHAH ALAM, 4 Ogos – Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni meraih 15,427 undi bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan majoriti 5,842 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, yang mendapat 9,585 undi dan calon Bebas, K Murthy (97 undi).
Pegawai pilihan raya, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad yang menumumkan keputusan itu di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, di sini.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood, berkata jumlah yang keluar mengundi pada PRK ini adalah antara yang terendah iaitu 49.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 51,217 pemilih berdaftar termasuk 417 pengundi baharu di DUN Sungai Kandis.
PRK yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mat Shuhaimi mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dikenali sebagai DUN Sri Muda untuk penggal ketiga dengan majoriti 12,480 undi apabila meraih 23,998 undi mengalahkan Datuk Kamaruzzaman Johari (BN) yang mendapat 11,518 undi, Mohd Yusof Abdullah (PAS) yang menerima 7,573 undi dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) yang hanya mendapat 76 undi.