KUALA LUMPUR, 10 Apr – Agenda penting Pakatan Harapan adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan dan memajukan masyarakat India di negara ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Parti KEADILAN Rakyat, Manivanan Gowin berkata walaupun perkara ini adalah satu cabaran tetapi beliau yakin bahawa dengan Pakatan Harapan, masih ada harapan untuk dilakukan.
“Apa yang kita perlukan adalah sokongan dan kepercayaan anda (masyarakat India) untuk membolehkan kerajaan Pakatan Harapan memberi yang terbaik, katanya dalam satu kenyataan yang diserahkan kepada media pada hari ini.
Manivanan berkata menuju pilihan raya umum akan datang, Pakatan Harapan berharap akan mendapat sokongan masyarakat India sebagai undi penentu di beberapa kawasan di Tanah Melayu.
“Sebelum ini, manifesto Pakatan Harapan dilancarkan untuk memastikan masyarakat India mendapat peluang pendidikan yang baik melalui pembiayaan penuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan naik taraf prasarana di setiap SJKT supaya menyamai mutu di sekolah kebangsaan”. ujarnya lagi.
“Untuk menjadikan pendidikan di negara ini bertaraf antarabangsa, perubahan yang hendak dibuat mestilah sesuai dengan tuntutan semasa”, tambahnya lagi.
“Dalam kontek Malaysia, sistem pendidikan mesti dibangunkan dan dibuat pembaharuan melalui agenda reformasi supaya dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan yang mampu melahirkan modal insan yang bernas”, katanya.
“Hal ini boleh dilakukan dengan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat India, di mana kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah pelajar India di sekolah-sekolah berasrama penuh dan di Maktab-maktab Rendah Sains Mara seluruh negara”, jelas beliau.
Menurut beliau, keutamaan akan diberikan kepada anak-anak India daripada keluarga berpendapatan rendah, keluarga yang bekerja di ladang-ladang, estet dan mereka yang termasuk dalam kategori miskin bandar dan luar bandar
“Tambahan kepada itu, satu dana khas juga akan dibentuk untuk pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat India dengan peruntukan RM4 bilion untuk 10 tahun pertama”, jelasnya lagi.
Manivanan mencabar Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam yang dijangka akan melancarkan manifesto khas untuk masyarakat India pada minggu depan, untuk mengumumkan janji-janji yang lebih baik daripada tawaran Pakatan Harapan bagi masyarakat India.
“MIC boleh mengemukakan berpuluh-puluh inisiatif, beratus-ratus akur janji, Malaysian Indian Blueprint yang tidak berani dibawa ke Parlimen untuk dijadikan dasar, semuanya hanya akan dicetak di atas kertas sahaja dan BUKAN dalam perjuangan mereka untuk membela masyarakat India.
Tambahnya lagi, Pakatan Harapan begitu komited untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat India yang mahukan pendidikan berkualiti, peluang ekonomi, selain penyelesaian dalam soal kewarganegaraan dan sebagainya. Martabat dan darjat masyarakat India sebagai warganegara Malaysia wajar dibina semula melalui komitmen Pakatan Harapan.