SINGAPURA, 26 Feb – Satu lawatan rasmi Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc ke Singapura telah menyaksikan pembentangan satu perjanjian dan berjaya memeterai 4 memorandum persefahaman (MoU) antara kedua negara.
Portal berita tempatan melaporkan, dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kedua-dua pihak telah mengesahkan hubungan dua hala yang kukuh dan bertukar pandangan bagi meningkatkan kerjasama.
“Pembentangan satu perjanjian dan 4 MoU untuk meningkatkan lagi ekonomi, memperkukuh kerjasama strategik serta mendorong pemulihan pasca pandemik telah dimeterai,” kata laporan itu.
Lee Hsien Loong menerusi laman media sosialnya berkata, Singapura dan Vietnam mempunyai persahabatan yang rapat berdasarkan kepentingan yang dikongsi.
“Semasa pandemik ini, persahabatan kami menjadi lebih kukuh,
“Kami telah menyokong satu sama lain dan akan terus berbuat demikian dan sedang membiasakan diri untuk hidup bersama COVID-19,” katanya.
Terdahulu, setibanya Nguyen Xuan Phuc telah disambut di Istana Presiden dan menemui Presiden Halimah Yacob. – airtimes.my