KUALA LUMPUR, 12 Mac – Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini sebulat suara bersetuju mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti berkenaan.
Keputusan sebulat suara itu diputuskan susulan usul khas yang dikemukakan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sebelum Muhyiddin menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan itu.
Ahmad Faizal ketika mengemukakan usul itu berkata, perjuangan Bersatu demi bangsa dan kemakmuran kaum lain menerusi sayapnya Bersatu Bersekutu, menuntut supaya parti itu kekal teguh dan tidak berpecah belah.
“Tidak berbangkit isu dan keperluan untuk Tan Sri Presiden meletakkan jawatan,” katanya ketika mengemukakan usul berkenaan.
Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam ucapan menyokong usul berkenaan berkata Bersatu berikrar untuk berdiri teguh dan akan terus berjuang untuk mempertahankan Muhyiddin.
Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapan dasarnya menzahirkan penghargaan kepada seluruh perwakilan dan ahli parti yang terus menyokong kepimpinannya selaku Presiden Bersatu dengan menolak tawaran beliau untuk meletak jawatan.
Menurutnya, beliau telah menawarkan untuk meletakkan jawatan pada mesyuarat MPT Bersatu semalam selain berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kedudukannya yang sedang berhadapan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.
“Sebagai mendukung prinsip dan motto perjuangan parti kita iaitu “Bersatu, Bermaruah dan Beramanah”, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas pertuduhan terhadap diri saya.
“Bagaimanapun, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah menolak tawaran saya untuk meletak jawatan,” katanya.
Beliau berkata dengan keputusan perwakilan meluluskan usul menolak peletakan jawatan presiden dan atas kehendak Perhimpunan Agung Tahunan, beliau akan meneruskan tugas sebagai presiden parti.
Bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional itu berdepan enam pertuduhan melibatkan empat dakwaan menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta. – BERNAMA