KUALA LUMPUR, 10 Nov – Pihak Prasarana menegaskan keputusan untuk menggantung perkhidmatan LRT di 16 stesen Laluan Kelana Jaya dibuat atas sebab keselamatan.
Ketua Pengarah Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah mendedahkan beberapa tren dikesan ‘hilang’ dari skrin panel pusat kawalan dan operasi LRT.
“Pasukan jurutera telah berusaha untuk menstabilkan operasi dan mengenalpasti punca gangguan pada 8 November,
“Data yang dikumpul menunjukkan tren tidak dapat dioperasikan secara automatik,
“Selain itu, kami tidak dapat melihat tren pada skrin paparan,” katanya semasa sidang media pada hari ini.
Menurut beliau, keputusan untuk menggantung operasi terpaksa dilakukan bagi menggelakkan insiden Mei 2021 berulang.
“Sebagai satu organisasi yang bertanggungjawab, kami terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk menggantung operasi LRT selama seminggu,
“Kami tahu ianya akan menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna tetapi kami tidak mahu insiden tahun lalu berulang kembali,” tegasnya.
Insiden pada 24 Mei lalu berlaku apabila 2 buah tren LRT bertembung di antara Stesen Kampung Baru dan Stesen KLCC. Kemalangan tersebut telah menyebabkan 213 penumpang cedera.
Dalam pada itu, Azharuddin menyatakan kumpulan pengeluar peralatan asal (OEM), Thales Group akan melakukan semakan log ujian pada malam ini. – airtimes.my