KUALA LUMPUR, 15 Sept – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang bersikap pragmatik mahu berkuasa semata-mata semasa mentadbir kerajaan menjadi punca gabungan itu gagal dalam menangani isu rasuah.
Beliau berkata, situasi itu juga adalah disebabkan tindakan sesetengah pimpinan parti pada ketika itu yang sibuk berbalah sesama sendiri seperti dalam isu perebutan jawatan Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PH dilihat memberikan kesan lebih buruk berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) yang membabitkan kerapuhan hubungan masyarakat.
“Sejak awal lagi, PAS menolak untuk bersama PH apabila dijemput menyertainya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kerana PAS mempunyai pengalaman yang paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya,
“Secara tegasnya, PAS menolak mudarat politik yang lebih besar dalam PH dan lebih parah akibatnya kepada negara yang boleh merobohkan asasnya, sehinggakan ia boleh mematahkan cabang-cabangnya yang penting,
“Khususnya, hubungan masyarakat majmuk menjadi rapuh, dan menyentuh perkara negatif berkenaan dasar dan konsep negara yang lebih banyak dibandingkan dengan BN,
“Keadaan sedemikian dapat dirasakan dalam tempoh PH memegang Kerajaan Pusat, walaupun terlalu singkat masanya jika dibandingkan dengan BN yang paling lama dan panjang masanya sejak Merdeka sehingga ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 kerana salah laku dan rasuah,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
PH amal politik dendam
Tegas Abdul Hadi, ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah serta penerima rasuah semasa memerintah.
“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip, tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga),
“Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,
“Malah, dalam PH juga terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, rukun negara, dan asas-asas Perlembagaan Persekutuan khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan,” ujarnya.
PAS tolak ‘khemah besar’ PH
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan pengalaman PAS bertahaluf siyasi dengan beberapa parti komponen dalam PH, memberikan suatu pengalaman yang cukup matang kepada PAS untuk mengenalinya secara lebih dekat dan terang.
“PAS tidak bersedia untuk memasuki khemah besar PH kerana tidak boleh memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam BN sehingga menumbangkannya,
“Hal ini demikian kerana, tokoh-tokoh yang sama di dalamnya menjadi punca rasuah tersebut serta mencipta tokoh-tokoh muda yang diajar dengan amalan rasuah,” tegasnya.
Abdul Hadi turut mempersoalkan bagaimana pengundi muda boleh mengangkat individu sepertinya menjadi penentang rasuah dan salah laku.
“Penyelesaiannya laksana perhitungan 2 campur 2 dan 2 kali 2, jawapannya sama iaitu 4 (2 + 2,” katanya lagi.
Kerajaan PH seperti pokok yang tidak berakar tunjang
Maka, Abdul Hadi menegaskan, PAS menolak PH yang mentadbir selepas PRU14 kerana menyifatkan kerajaannya laksana pokok yang tidak berakar tunjang dengan teguh.
“Faktor itu menjadi sebab kuasanya boleh dicabut dengan mudah atau tumbang menghempap siapa sahaja,
“PAS beristiqamah menentang segala dosa besar dan dosa kecil, termasuklah rasuah dan segala jenis salah laku yang berlaku di semua peringkat,
“PAS menanganinya dengan pendekatan Islam yang sempurna dan holistik, daripada pendidikan yang sempurna dari sudut roh dan jasad, individu serta masyarakat,” tambahnya lagi.
Tambahnya, PAS dengan kemampuan mentadbir kerajaan negeri dan beberapa kementerian yang diamanahkan dengan bidang kuasa yang terhad tetap berusaha membuktikan Islam sahaja berjaya mencipta integriti yang sebenarnya, tidak palsu serta berpura-pura.
“Budaya Politik Matang dan Sejahtera tanpa dendam menjadi pegangan PAS, walaupun PAS merupakan parti yang paling ramai pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak zaman penjajah sehinggalah merdeka,
“Bahkan, ada yang mati terkorban bukan sahaja ditahan dan dibuang daerah,” ujar Presiden PAS itu. -airtimes.my