GEORGE TOWN, 8 Mac – Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mendakwa ada pihak menghasut penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan yang turut menjejaskan usaha membantu mereka yang berkenaan.
Beliau berkata kerajaan negeri sudah mempunyai perancangan untuk membantu penduduk yang diarah mengosongkan unit sewaan mereka itu.
“Mungkin proses untuk kita meyakinkan penduduk itu tidak mudah kita capai kerana (ada) parti-parti lain masuk untuk menyebarkan maklumat yang tidak berasas maka penduduk merasa khuatir dan tidak mahu bekerjasama,” katanya kepada pemberita, di George Town hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan sekumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit sewaan di taman perumahan itu mengadakan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan arahan berkenaan.
Mengulas lanjut, Chow menegaskan tindakan pengosongan itu tidak ada kaitan dengan perkauman tetapi berasaskan undang-undang sedia ada selain penduduk juga diberikan tempoh yang mencukupi untuk mereka berbuat demikian.
Beliau juga berkata susulan pengeluaran notis itu, kerajaan negeri telah menyediakan kediaman sementara bagi yang terlibat namun sebilangannya terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu sehingga mengadakan demonstrasi tersebut.
Katanya sebanyak tujuh daripada 22 unit yang terbabit dalam arahan itu dapat diambil balik kerajaan negeri selepas penyewanya menyerahkan unit berkenaan secara sukarela.
“Mungkin proses bagaimana kita hendak menguatkuasakan sesuatu keputusan ini, kalau perlu ditambah baik lagi kita akan bersedia untuk mengkaji semula,” katanya.
Sebelum ini, Chow dilaporkan berkata penyewa PPR Taman Manggis diarah mengosongkan unit sewaan masing-masing selepas didapati mereka melanggar syarat mendiami PPR itu antaranya tinggal melebihi tempoh ditetapkan iaitu lima tahun selain ada yang menerima pendapatan melebihi kelayakan.
Beliau berkata majoriti penduduk yang diarah keluar adalah mereka yang telah tinggal di situ antara 10 hingga 11 tahun.
Sebanyak enam penyewa melibatkan kira-kira 40 anggota keluarga bertindak “menumpang” di Komtar sejak Rabu selepas diarah mengosongkan unit sewaan masing-masing. – Bernama