KOTA TINGGI, 5 Okt – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor telah menahan 2 buah kapal tangki di perairan Johor Timur menerusi Operasi Jangkar Haram, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, setelah ditahan kedua-dua nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
“Pada jam 10.45 pagi kapal tangki pertama ditahan pada jam 10.45 pagi di kedudukan kedudukan 9.3 batu nautika timur Tanjung Lompat,
“Kapal ini dikendalikan oleh 17 kru warga China dan Myanmar, berumur antara 24 hingga 51 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan didaftarkan di Hong Kong,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM pada hari ini.
Sementara itu, bagi penahanan kedua pula, sebuah kapal tangki yang berdaftar di Thailand ditahan ketika berada pada kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang. Kapal tersebut dikendalikan 16 kru warga Thailand berumur antara 26 hingga 57 tahun, serta turut mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – airtimes.my