TAWAU, 20 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau mengusir keluar 2 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dari perairan Tawau di kawasan laut pelabuhan, pada pagi Isnin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Suprintenden Polis Ridzauddin Selamat berkata, kedua-dua PATI yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita ditahan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua PATI berumur 44 dan 49 tahun serta mengaku memasuki perairan Tawau dari Indonesia,
“Kedua-dua mereka telah diberikan penerangan berkaitan pematuhan SOP COVID-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta diiring keluar dari perairan negara bagi mengekang penularan wabak penyakit tersebut,” katanya dalam satu hantaran media sosial rasminya hari ini.
Menurutnya lagi, PPM turut berjaya merampas rokok seludup yang dipercayai telah diseludup dari negara jiran serta ditinggalkan di sebuah bangunan di Tawau, malam tadi.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan beberapa kotak mengandungi pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM27,588,
“Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – airtimes.my