KUALA LUMPUR, 7 Feb – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata terdapat beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor mengumumkan untuk kembali menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Saya tahu ramai lagi yang bersedia untuk berbuat demikian, Insyaallah,
“Gelombang ini bukan satu perkara yang tidak baik. Ia satu proses pemulihan. Belut pulang ke lumpur, sireh pulang ke gagang,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, sebagai ahli dan penyokong setia parti harus membuka pintu, menyambut kepulangan mereka yang mahu kembali kepada UMNO dan BN.
“Mudah-mudahan ia turut merintis kepulangan dokongan rakyat keseluruhannya terhadap parti keramat warisan bangsa ini,
“Dalam sejarah politik negara, parti serpihan biasanya berjuang di bawah dokongan personaliti, bukan organisasi atau idealogi. Lazimnya, hayatnya juga tidak lama,” ujarnya.
Menurutnya, UMNO adalah sebuah parti berakar umbi yang mempunyai organisasi dan tidak terlalu bergantung kepada personaliti.
“Kepimpinan sering patah tumbuh hilang berganti,
“Saya mendoakan lebih ramai kawan-kawan yang dulunya meninggalkan parti ini, kembali semula. Kita bersama mendokong perjuangan ini. UMNO harus terus terbuka, kerana UMNO harus memimpin,” jelasnya. – airtimes.my