KUALA LUMPUR, 23 Feb – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan beliau kini menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan setelah disahkan positif COVID-19.
Beliau menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, isolasi di HAT Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan.
“Alhamdulillah, walaupun mengalami gejala namun buat masa ini saya berada dalam keadaan baik,
“Bagi memastikan tahap kesihatan saya terus berada pada tahap memuaskan, saya telah dinasihatkan agar menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tujuan rawatan dan pemantauan,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin turut memohon maaf kerana tidak dapat membalas kesemua mesej ucapan dan doa kepadanya sejak semalam.
“Saya terima banyak mesej ucapan dan doa sejak semalam. Saya memohon maaf kerana tidak dapat membalas kesemuanya,
“Namun bagi pihak seluruh ahli keluarga, saya amat menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan mendoakan kesembuhan saya. Semoga ia dimakbulkan oleh Allah SWT. Amin Ya Rabbal Alamin,” ujarnya.
Semalam, Pejabat Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan bahawa Hishammuddin disahkan positif COVID-19 dan sudah menerima dos penggalak akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan semasa dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – airtimes.my