SERIKIN, 18 Feb – Tindakan 2 lelaki tempatan bertindak sebagai tekong yang cuba menyeludup masuk 3 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia, gagal apabila ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di ladang kelapa sawit, Pos Jawatankuasa Perancang Gerakan (JPG), awal pagi tadi.
Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) dalam kenyataan berkata, penahanan itu dilakukan oleh anggota ronda Operasi Benteng (Op Benteng) yang mengesan kehadiran 2 buah motosikal memasuki sempadan Malaysia melalui jalan ladang kelapa sawit berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 2 lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 31 tahun bersama 2 lelaki serta seorang wanita berusia sekitar 22 hingga 39 tahun,
“PATI warga negara Indonesia tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” jelas kenyataan itu.
Makas 1 Div menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7,620.76 melibatkan 2 buah motosikal, 6 buah telefon bimbit serta wang tunai.
Manakala, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daerah Bau dan kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Jelas 1 Div, TDM akan terus komited dan siap siaga mengawal keselamatan serta memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Ia terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.-airtimes.my