KUALA LUMPUR, 13 OKT – Kerajaan mengumumkan akan membina 7 pos imbangan tambahan bagi memperkemaskan lagi kawalan keselamatan sempadan di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pos imbangan yang bakal dibina antaranya di
Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak.
Beliau turut berkata, di Sabah, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik serta kerja awalan pembinaan 2 Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan, juga akan diusahakan.
“Keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan serta keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berkata, kerajaan akan menambah aset-aset perairan untuk tujuan itu pada tahun hadapan.
“Antaranya, perolehan 45 unit bot pelbagai jenis untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) dan 9 buah kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas turut akan dibekalkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” ujarnya lagi.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan akan wujudkan sebuah agensi tunggal sempadan negara atau Single Border Agency (SBA) dengan peruntukan RM20 juta untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara. -airtimes.my