KUALA LUMPUR, 8 JAN – Pertempuran di dalam kawasan terbina (FIBUA) bukanlah asing, malah dalam kebanyakan peperangan moden termasuklah semasa Perang Dunia Kedua adalah melibatkan situasi sebegini.
Tidak terkecuali di Malaya ketika itu. Cuma, apabila negara berdepan dengan ancaman Darurat dan Insurgensi, corak pertempuran beralih kepada peperangan gerila.
Atas sebab itu juga pasukan keselamatan negara membina kemahiran tersendiri apabila mewarisi kecekapan dalam operasi melawan insurgensi.
Sebagai pasukan paramilitari, Pasukan Gerakan Am (PGA) kini dilihat dinamik apabila turut mempelbagaikan kemahiran dengan menguasai kecekapan-kecekapan baharu.
Ini termasuklah kemahiran dalam menghadapi operasi fibua yang mana PGA tidak terkecuali untuk berdepan dengan cabaran tersebut.
Tambahan pula dengan persekitaran pembangunan negara, operasi di dalam kawasan penempatan dan bangunan mempunyai bahaya dan risiko tersendiri.
Dalam persediaan untuk menguasai kemahiran baharu ini, Batalion 4 PGA Semenyih, Selangor telah melaksanakan Kursus Asas FIBUA (Infantri Platun) Siri 1/2023.
Kursus bertempat di Markas Latihan Luar, Pusat Latihan PGA Tupah, Bedong, Kedah itu melibatkan 38 anggota batalion tersebut termasuk seorang pegawai.
Selama tiga minggu, para pelatih dilatih dengan pelbagai pengetahuan dan teknik melibatkan penugasan pertempuran di kawasan terbina.
Ini bertujuan melengkapkan tahap kompetensi sebagai pegawai dan anggota infantri.
Ia juga dilihat relevan memandangkan Batalion 4 PGA berpangkalan di Lembah Klang dengan jarak kira-kira 26 kilometer dari Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Kemahiran baharu ini dapat melahirkan pegawai dan anggota PGA yang berkemahiran tinggi, komited serta berdedikasi.
Keperluan kursus ini seperti mana saranan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Dato’ Sri Hazani Ghazali.
Ia bagi memperkasakan PGA dengan menekankan lima elemen penting iaitu FIBUA, ‘Sea Combat’, ketenteraman awam, keselamatan sempadan dan acara utama.
Terdahulu, majlis penutupan kursus asas berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan KDNKA, DCP Dato’ Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi.
Hadir sama, Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, SAC Shahrum Hashim; Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih, Superintendan Jafri Muhamad dan Komandan Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir.
Pada akhir kursus, Sarjan Mohd Fazwan Zainol Abidin telah diumumkan sebagai Peserta Kursus Terbaik.
Para pelatih kemudian turut mempamerkan kecekapan dengan persembahan seni mempertahankan diri, misi serangan FIBUA dan penggeledahan.
#AirTimes #Malaysia #Keselamatan #PDRM #PGA #FIBUA