[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=HRNJ2GiVN0o[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kebajikan pasukan keselamatan menjadi keutaman Kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan keharmonian serta keamanan negara.
“Di luar negara, negerinya aman. Sebab itu untuk polis dan tentera kita kena bagi perhatian yang lebih,
“Saya tahu ada polis sokong dia (pembangkang). Tapi saya hendak tanya, masa dia jaga dia pikir rumah polis macam mana?
“Tapi masa kita jaga, tahun ini sahaja kita bagi RM200 juta tambahan untuk polis dan RM200 juta tambahan untuk tentera,
“Ini bukan kempen, kerana mereka (polis dan tentera) sudah mengundi. Kerana kita (kerajaan) turun kita tanya. Duduk dimana? Berapa bilik? Rosak?
“Ada orang perbaiki? Ada masalah? Jadi kita tahu dan terus kita bagi (peruntukan). Di sekolah, rumah polis, rumah tentera kita bagi peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale Kita Selangor di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, malam tadi.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan terdahulu yang tidak menyelesaikan masalah ini.
“Kalau dia (Perikatan Nasional) belum pernah perintah kita boleh terima. Tapi dia dah perintah 3 tahun dia tidak buat. Jadi kita kena ajar dia,
“Kalau saya, Zahid, Fadillah dan Loke (Anthony Loke) tak buat, kita tendang semua. Saya terima,
“Tapi kita buat semua. Kita sedaya upaya buat pembaikan dan perubahan. Saya tidak berlawak. Memang betul saya dah tunggu 25 tahun. Bila dah dapat jadi Perdana Menteri, saya kena buat kerja,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan segera RM200 juta bagi membaik pulih kediaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
Beliau berkata, kelulusan itu diberikan selepas mempertimbangkan banyak kediaman ATM berada pada tahap sangat teruk dan terbiar untuk sekian lama.
Selain itu, kerajaan juga mengumumkan peruntukan RM150 juta bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Penjara di seluruh negara.
Jelasnya, jumlah itu tambahan kepada peruntukan pembangunan berjumlah RM200 juta yang disalurkan melalui Belanjawan 2023 untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). -airtimes.my