KUALA LUMPUR, 24 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menegaskan bahawa program imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak di semua fasiliti kesihatan berjalan seperti biasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ibu bapa disarankan agar menepati jadual imunisasi dan tarikh temujanji yang telah ditetapkan oleh anggota kesihatan bagi mengelakkan daripada keciciran imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak.
“Ibu bapa yang telah pulang ke kampung hendaklah membuat temujanji untuk imunisasi bayi mereka di mana-mana klinik kesihatan atau swasta yang berdekatan,
“Dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi saranan KKM, imunisasi kanak-kanak perlu diteruskan untuk mengekalkan imuniti kelompok yang tinggi,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata ibu bapa perlu risau kerana sebarang kelewatan penerimaan imunisasi ini boleh meningkatkan risiko berlakunya peningkatan pendedahan bayi dan kanak-kanak kepada penyakit cegahan vaksin seperti measles (campak) dan polio.
“Hal ini boleh menyebabkan berlakunya peningkatan wabak penyakit cegahan vaksin yang juga akan mengancam nyawa jika tidak dibendung,
“Dalam keadaan negara Malaysia berusaha sedaya upaya untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dan dalam tempoh PKP, KKM menyedari risiko gangguan dalam program imunisasi dan penurunan jumlah kedatangan bayi dan kanak-kanak ke klinik kesihatan untuk tujuan imunisasi. Ini adalah disebabkan keperluan mematuhi amalan penjarakan sosial serta kebimbangan masyarakat kepada jangkitan virus COVID-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini, beberapa negara di seluruh dunia telah mengalami penularan wabak penyakit cegahan vaksin seperti measles dan polio.
“Malaysia juga telah dikejutkan dengan kemunculan kes polio yang pertama pada Disember 2019 setelah 27 tahun bebas daripada penyakit tersebut,
“Sehingga kini, terdapat 4 kes polio yang disahkan melalui ujian makmal serta 2 kes polio compatible yang menepati ciri klinikal penyakit polio di mana kesemua kes ini berlaku di negeri Sabah,” ujarnya.
Tambahnya lagi, imunisasi telah terbukti sebagai salah satu daripada intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan kos efektif dalam mengurangkan kejadian termasuk kematian penyakit cegahan vaksin.
“Sejarah dan fakta telah membuktikan bahawa imunisasi telah menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, terdapat penurunan kes measles dengan 1,077 kes pada tahun 2019 berbanding 1,958 kes pada tahun 2018 di seluruh Malaysia.
Namun, kes kematian meningkat dengan 15 kematian pada tahun 2019, berbanding 6 kematian pada tahun 2018.
“Sebanyak 915 kes Pertussis (batuk kokol) dicatatkan dengan 20 kematian pada tahun 2019, meningkat daripada 892 kes dengan 22 kematian pada tahun 2018,
“Manakala sebanyak 16 kes difteria telah dicatatkan dengan 6 kematian pada tahun 2019 berbanding 18 kes dengan 6 kematian pada tahun 2018. Majoriti kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin,
“Terdapat juga kes berlaku di kalangan bayi yang belum layak iaitu belum sampai umur untuk menerima suntikan vaksin,” ujarnya.
Pada tahun ini, tema ‘Vaksin Berkesan Untuk Semua’ (#VaccinesWork for All) telah dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan bertujuan mempromosikan penggunaan dan kepentingan vaksin untuk melindungi semua golongan umur daripada penyakit cegahan vaksin.
“Tema ini juga memberi fokus kepada organisasi termasuk anggota kesihatan yang terlibat dalam pelaksanaan Program Imunisasi walau di mana pun mereka berkhidmat, dengan tujuan untuk melindungi kesihatan masyarakat tanpa mengira etnik, bangsa dan agama,” kata Dr Noor Hisham. – AirTimes