IPOH, 2 Ogos – Pemerintahan Markas 2 Briged Infantri yang sebelum ini di bawah 2 Divisyen ditukar kepada naungan 4 Divisyen, berkuat kuasa semalam, kata Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami.
Beliau berkata pertukaran saluran pemerintahan itu selaras dengan tahun penjajaran yang memerlukan Tentera Darat menjajarkan semula struktur pemerintahan sedia ada.
Katanya Mesyuarat Jawatankuasa Panglima Tentera Darat 7 Mei lepas memperakui dan bersetuju supaya pemerintahan 2 Briged diletakkan di bawah Markas 4 Divisyen di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.
“Penstrukturan semula itu bagi mengimbangi kekuatan semua divisyen di bawah Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat selaras dengan Rancangan Strategik Tentera Darat.
“Pertukaran saluran pemerintahan daripada naungan 2 Divisyen kepada 4 Divisyen melibatkan kira-kira lebih 3,000 anggota,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas menyaksikan perbarisan tempur oleh 31 pegawai dan 600 anggota lain-lain pangkat sempena pertukaran saluran pemerintahan berkenaan di Padang Kawad, Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja Kem Syed Putra di sini, pada Khamis
Mengulas lanjut, Mohd Nazir berkata penstrukturan semula itu tidak akan mengubah lokasi markas pemerintahan sebelum ini.
Katanya dengan pertukaran saluran pemerintahan itu, 4 Divisyen akan berfungsi dengan lebih efektif dan efisien selain melaksanakan tugas-tugas hakiki sebelum ini iaitu sebagai divisyen yang bertanggungjawab kepada aspek rejimental dan upacara ketenteraan. – Bernama