KUALA LUMPUR, 2 Jun – Kedutaan Besar China di Malaysia berkata, 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei lalu hanyalah latihan penerbangan biasa.
Jurucakap kedutaan itu memaklumkan, kesemua pesawat tersebut tidak menceroboh ruang udara mana-mana negara semasa latihan dan telah mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, latihan penerbangan tersebut adalah rutin bagi pesawat tentera udara China dan tidak menyasarkan mana-mana negara.
“Menurut undang-undang antarabangsa, pesawat tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan,
“China dan Malaysia adalah negara jiran yang ramah mesra, dan China bersedia untuk meneruskan rundingan persahabatan dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau,” kata jurucakap itu.
Semalam, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM mengesahkan insiden pencerobohan ruang udara oleh 16 buah pesawat China di ZMM berlaku pada 31 Mei 2021.
Pesawat tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.
TUDM telah mengerahkan pesawat Hawk dari No. 6 Skuadron untuk memintas dan mengusir pesawat terbabit ketika cuba memasuki ruang udara nasional negara.
Selain itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan pihaknya mengarahkan Duta Besar China untuk tampil memberikan penjelasan berhubung insiden pencerobohan di ruang udara ZMM.
Beliau akan berhubung dengan rakan sejawatannya di China bagi menyampaikan pendirian Malaysia dalam isu ini.
“Pendirian kita adalah jelas, hubungan diplomatik mesra dengan mana-mana negara tidak sekali-kali bermaksud kita kompromi soal keselamatan,
“Malaysia berpendirian teguh untuk mempertahankan maruah dan kedaulatannya,” tegas Hishammuddin. – airtimes.my