NEGERI SEMBILAN, 21 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengaturgerakkan anggota dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) bagi membantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi, Jelebu, pada Isnin.
TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, anggota 15 RAMD telah berjaya menemui 50 orang awam yang terperangkap dan terputus bekalan makanan serta ubatan sejak dilanda banjir 2 hari yang lepas.
“Beberapa anggota tentera menemui 3 orang awam yang sedang mencari bekalan makanan pada jam 11.15 pagi,
“Susulan daripada itu, satu kumpulan tinjau diaturgerak untuk mencari laluan masuk dan mengenal pasti jumlah orang awam yang memerlukan bantuan,” jelas TDM.
Menurut TDM, seramai 31 orang bersetuju untuk dibawa keluar dan ditempatkan di Kem Rekreasi Bukit Perjuangan, manakala baki 19 orang yang enggan keluar telah dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jelebu untuk tindakan selanjutnya.
Hutan Simpan Kenaboi sebelum ini dilaporkan mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh, banjir dan arus deras susulan hujan lebat sejak Jumaat lalu.
Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengarahkan kesemua taman eko rimba dan kawasan pendakian dalam hutan simpanan kekal di Negeri Sembilan ditutup berkuat kuasa pada Isnin susulan banjir sehingga tarikh akan dimaklumkan kelak.
“Ia memandangkan keadaan cuaca yang berterusan hujan manakala untuk kes di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu pihak jabatan sedang menilai kerosakan disebabkan kejadian tanah runtuh yang merosakkan beberapa infrastruktur sedia ada di sana,
“Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak jabatan,” katanya pada Isnin.-airtimes.my