PUTRAJAYA, 24 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Republik Singapura, TYT Lee Hsien Loong telah bersetuju untuk membuka semula pintu sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April ini.
Persetujuan tersebut dibuat ketika kedua-dua pihak membuat panggilan telefon bersama dan berkongsi perkembangan keadaan negara masing-masing yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi serta pengurusan pandemik COVID-19.
“Ismail Sabri dan Lee Hsien Loong telah mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam mneneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin antara kedua-dua negara (udara dan darat),
“Kedua-dua pemimpin telah bersetuju membuka sempadan darat Malaysia-Singapura bagi individu yang lengkap vaksin,” katanya dalam satu kenyataan bersama, pada Khamis
Tambahnya lagi, bermula tarikh tersebut kedua-dua negara akan membenarkan individu yang lengkap vaksin merentas sempadan tanpa menjalani kuarantin atau ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.
Menurutnya lagi, ia juga boleh diguna pakai bagi semua kategori pengembara dan jenis kenderaan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.
“Pengumuman hari ini (semalam) mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai
aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara serta akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.
Dalam pada itu, Lee Hsien Loong berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh.
“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19,
“la mencerminkan kerjasama yang kukuh bagi kedua-dua pihak serta membantu negara menjadi lebih kukuh daripada krisis ini,” kata Hsien. – airtimes.my