KUALA LUMPUR, 8 Feb – Seramai 700 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai pengiktirafan atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman pengganas komunis.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan penganugerahan itu telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz di Dewan Perwira, Wisma Pertahanan ATM, pada Selasa.
“PJM yang dilaksanakan sejak 3 Mac 2004 ini hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Jan 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM),
“Selain itu, veteran tersebut mestilah telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama 3 bulan dan ke atas atau telah bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari 6 bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU),” jelas kenyataan itu malam tadi.
MINDEF turut memaklumkan sekiranya veteran itu telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang pengganas PKM bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 juga layak menerima penganugerahan ini.
Menurut MINDEF, majlis semalam merupakan penganugerahan pertama yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan setelah Menteri Pertahanan bersetuju mewakilkan kuasa melalui Panglima Angkatan Tentera dan Ketua-Ketua Perkhidmatan ATM untuk menyempurnakan pemakaian PJM melalui Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan bertarikh 29 September 2022.
Turut hadir, Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus serta wakil Persatuan Veteran ATM sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
Kementerian Pertahan memaklumkan, sehingga kini, seramai 33,632 warga veteran ATM telah menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi mendapat anugerah itu dijadualkan menerimanya pada masa akan datang. -airtimes.my