Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas Mohsin atau lebih dikenali dengan gelaran “Mamu Parpu” selaku pemohon dalam kes itu memaklumkan peguamnya Gunamalar Joorindajn tidak dapat menghadiri  prosiding pada hari ini.

“Pemohon (Mohsin) baru menghantar surat kepada mahkamah menjelaskan tarikh pendengaran pada hari ini tidak sesuai dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu selepas 9 Oktober ini. Kalau ikutkan, saya boleh buang permohonan ini dalam tempoh lima minit sahaja dan tidak perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Bagaimanapun pemohon telah mengemukakan surat baharu yang kandungan tidak sama seperti sebelum ini.

“Jika mahkamah tidak memberi penangguhan nanti akan timbul isu dan kata mahkamah tidak adil kerana tidak berbuat demikian.Justeru mahkamah menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan ini dan kes akan tetap berjalan sekiranya peguam gagal hadir,” katanya.

Pada pertengahan September lepas, Mohsin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mendapat perintah bahawa keputusan berkenaan perlu dikaji semula dan diketepikan atau diubah dan digantikan dengan perintah Lim dan Phang dilepaskan tanpa dibebaskan.

Permohonan itu dibuat menurut  Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonan itu, Mohsin menamakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden pertama,  Lim  sebagai responden kedua dan Phang responden ketiga.

Pada 3 September lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Guan Eng yang kini Menteri Kewangan dan Phang daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran pasaran berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili beliau dan peguam Datuk V.Sithambaram serta peuam  Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hakim Hadhariah yang turut mendengar kes rasuah berkenaan turut  tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Mohsin ialah seorang daripada saksi yang dipanggil memberi keterangan dalam kes rasuah tersebut.
Sementara itu, Ramkarpal dan Sithambaran yang mewakili Phang memaklumkan kepada pemberita di luar mahkamah,  pihaknya telah bersedia dengan hujahan bantahan awal bagi permohonan tersebut.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa  Raya Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri. – Bernama