KUALA LUMPUR, 18 Okt – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 menyaksikan Mohd Asghar Khan mendahului senarai 284 penerima pingat pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada 8 penerima dari negara asing.
“5 Penerima Kehormat Darjah PGAT yang dikurniakan kepada Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI), Jenderal TNI Andika Perkasa; Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, General Chalermphon Srisawasdi; Chief of General Staff, Armed Forces of Saudi Arabia, General Fayyad Hamed Al Ruwaili; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi Bol Hassan dan Commanding General of the Philippine Army, Lieutenant General Romeo S Brawner Jr.,
“Manakala 2 Penerima Kehormat Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dikurniakan kepada Major General Fahad Saad Aljohani dan Major General Pilot Ahmed Ali Al Dubais serta seorang Penerima Kehormat Darjah Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) iaitu dikurniakan kepada Brigedier General Abdullah Khaled S Alyamini,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.
Menurutnya, 3 pegawai kanan dari Markas ATM turut dikurniakan darjah PSAT iaitu Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (AKS OLP), Mejar Jeneral Datuk Zaidan Atan; Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA), Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Inspektorat Jeneral (IJ) ATM, Laksamana Muda Abd Halim Shaari.
Katanya, penganugerahan pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota yang berkelayakkan di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan di dalam perkhidmatan ATM.
“Sebanyak 5 Darjah Kebesaran Angkatan Tentera di senaraikan khusus bagi ATM yang terdiri daripada PGAT, PSAT, PAT, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Bentara Angkatan Tentera (BAT),
“Seramai 284 penerima telah dianugerahkan pingat pada sesi hari pertama hari ini terdiri dari 276 dari pegawai dan anggota ATM dan 8 penerima dari Pegawai Tentera Negara Asing selaku Penerima Kehormat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Markas ATM berkata, daripada jumlah keseluruhan penerima, 12 Pegawai Kanan ATM merupakan penerima darjah PSAT, 34 PAT, 118 KAT, dan 114 sebagai penerima darjah BAT.
Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Panglima-Panglima Perkhidmatan. – airtimes.my