TAWAU, 11 Jan – Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau telah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan dengan merampas 604 kotak berisi rokok tidak bercukai di Kampung Iban Merotai, pada Isnin.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitenden Mohd Yacob Murad berkata, rampasan itu dibuat setelah anggotanya yang melakukan rondaan Operasi Kontraban telah menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan awal yang dijalankan keatas pemandu lori, merupakan seorang lelaki warganegara berumur 37 tahun.
“Pemeriksaan lanjut keatas lori yang dipandu telah menemui sejumlah 604 kotak besar berisi rokok pelbagai jenama,
“Antara jenama rokok tersebut ialah 161,600 bungkus A-satu, 108,500 bungkus Tex Hijau, 68,000 bungkus Tex Merah dan 24,500 bungkus rokok jenama Tex Biru yang di anggarkan kesemuanya bernilai RM 8,690,888.00,
“Rokok-rokok tersebut dirampas kerana disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual dipasaran tempatan,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yacob menjelaskan, turut dirampas dalam kejadian tersebut ialah sebuah lori Jenis Nissan UD kanvas berwarna hijau dan sebuah telefon bimbit jenama Huawei.
“Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM 8,793,388.00,
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” tambahnya.-airtimes.my