PONTIAN, 28 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam telah menahan 4 lelaki tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam satu serbuan di kebun sawit Jalan Kampung Serong Laut, Serkat, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superitendan Dimin Awang berkata, mereka ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilakukan oleh Batalion 5 PGA bersama-sama D3 Atipsom Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 9.30 pagi.
Beliau berkata, seramai 4 lelaki tempatan berusia 21 hingga 45 tahun, 5 lelaki dan 5 wanita warga Indonesia berusia dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun itu ditahan berdekatan rumah penampungan dalam kebun sawit berkenaan.
“Turut dirampas 4 buah kenderaan yang digunakan sindiket tersebut iaitu Toyota Wish, Perodua Bezza, Alza dan Kenari,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dimin mengeaskan, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku memasuki negara ini melalui jalan laut dan mendarat di Kampung Kubur Telok Kerang sebelum dihantar oleh keempat-empat transporter tersebut ke rumah penampungan itu.
“Kesemua suspek dipercayai dalam proses penghantaran ke Johor Bahru dan Kuala Lumpur semasa tangkapan dilakukan,
“Hasil soal siasat mendapati aktiviti itu didalangi seorang lelaki tempatan bernama Boi,” tambahnya.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM197,537. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26(a) Akta Atipsom 2007, Seksyen 5(2) Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” uajarnya.
Pada masa yang sama, beliau berkata, sepanjang tempoh 6 bulan pertama tahun ini pihaknya telah berjaya menahan 124 lelaki dan wanita yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan migran.
Daripada jumlah itu katanya, ia melibatkan 51 warga tempatan; seorang warga Bangladesh; 67 warga Indonesia; seorang warga Mynmar dan 4 warga China.
“Sebanyak 32 laporan tangkapan dibuat melibatkan 11 kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, enam kes (Akta Imigresen 1959/63); enam kes (Akta Bahan Letupan 1957) (Akta 207); lima kes (Akta Atipsom 2007) dan masing-masing satu kes (Akta Senjatapi 1960, Akta Barang Lusuh, Akta Racun 1952 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009),
“Nilai rampasan Batalion 5 PGA sepanjang tempoh itu berjumlah RM18,251,071 dengan pecahan RM281,882 pada Januari; RM881,807 (Februari); RM1,016,192 (Mac); RM985,201 (April); RM14,586,887 (Mei) dan RM499,101 (Jun),” jelasnya.
Dimin turut menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan PATI melalui lorong tikus. -airtimes.my