KUALA LUMPUR, 14 Feb – Ladang integrasi Tentera Darat Malaysia (TDM) bukanlah untuk anggota tentera yang masih berkhidmat, tetapi diwujudkan bagi memberi peluang kepada ahli keluarga mereka dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, projek integrasi ini dilaksanakan bagi membantu keluarga anggota dalam mengurangkan beban serta menambahkan pendapatan mereka.
Beliau mengulas kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa projek rintis integrasi ini akan menjadikan warga tentera sebagai seorang petani.
“Saya sebenarnya tak boleh ubah persepsi ini. Tapi kalau orang cerdik tu tahu lah, tak kan kita nak suruh askar pergi tanam sayur?,
“Tugas hakiki mereka (tentera) adalah untuk berlatih, pergi berperang. Yang kita maksudkan, projek ini adalah untuk membantu keluarga mereka,
“Kita bawa pendekatan yang bermatlamatkan untuk mengurangkan beban dan meningkatkan sari hidup mereka,” jelasnya.
Semalam, Zamrose telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kiosk Tani Markas Garison di Pusat Islam Markas Garison, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Ladang berkenaan merupakan usaha pengurusan tertinggi TDM dengan kerjasama Desatera Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Brahim’s Dewina yang mula beroperasi 15 Mei tahun lepas.
Menurut Zamrose, ladang integrasi sebegini akan diperluaskan di setiap kem TDM di zon utara, selatan termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memberi peluang pekerjaan kepada ahli keluarga anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Anggota tetap teruskan tugas menjaga keselamatan negara, ia bagi isteri yang tak kerja atau anak yang tengah tunggu sambung belajar mungkin boleh kerja di sini (ladang),
“Kalau askar yang berkebun, saya yang akan ambil tindakan. Ia tidak boleh, mereka askar,” katanya lagi.-airtimes.my