PETALING JAYA, 17 Feb – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, telah menahan 5 lelaki warga tempatan bersama daun dan air ketum yang bernilai RM3,340 di sebuah rumah di kawasan Taman Medan, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati 2 buah bilik di dalam rumah tersebut telah diubahsuai menjadi tempat memasak air ketum dan penyimpanan daun ketum.
“Hasil serbuan tersebut telah menemui sebuah tong ais plastik berwarna kuning yang berisi 92 botol plastik lutsinar yang disyaki air ketum dan anggaran berat keseluruhan 138,000 mililiter,
“Selain itu, turut ditemui 10 bungkusan plastik berwarna biru yang mengandungi helaian daun ketum dan anggaran berat keseluruhan ialah 50 kilogram (kg),” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Fakhrudin menjelaskan, hasil analisis rampasan air dan daun ketum tersebut boleh dibekalkan kepada lebih kurang 1,326 orang.
Tambahnya, 5 lelaki warga tempatan tersebut berumur diantara 23 hingga 27 tahun dan juga mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek telah di tahan reman selama 4 hari dan disiasat di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022) dan boleh dihukum di bawah seksyen 30(5) akta sama,
“Jika disabit kesalahan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, usaha memerangi masalah ketagihan air ketum dan penjualan air ketum bukanlah sekadar tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata namun masyarakat secara umumnya perlu mempunyai kesedaran untuk bersama membanterasnya.
Sehubungan itu, beliau juga menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan segera maklumat di mana-mana balai polis berhampiran berkenaan pengedaran dan penyalahgunaan air ketum dan dadah. -airtimes.my