KUALA LUMPUR, 5 Jan – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan hari ini menyatakan sebanyak 281 perolehan pertahanan telah dirancang untuk tahun ini.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Majlis Amanat Menteri Pertahanan Tahun 2023 di Wisma Pertahanan, hari ini.
Menurut beliau, perancangan perolehan merangkumi ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai unjuran nilai RM8 bilion.
“Ini termasuklah perolehan Meriam 155 milimeter Self-Propelled Howitzer, Kenderaan Perisai APC untuk MALBATT 850 di Lubnan dan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) bagi Tentera Darat,” katanya.
Beliau menambah, rancangan ini turut melibatkan penyelenggaraan aset sedia ada.
“KD Laksamana, KD Jerai dan KD Lekir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menjalani pasang pulih,
“Penyelenggaraan pesawat C-130 dan pembekalan alat-alat ganti pesawat-pesawat TUDM turut dilakukan,” jelas Tok Mat.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan turut menegaskan perolehan aset-aset strategik ATM akan diteruskan pada tahun ini.
“Perolehan-perolehan strategik seperti Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium-altitude Long-endurance Unmanned Aircraft System masih diteruskan,
“Saya juga akan berusaha untuk memastikan perolehan Light Combat Aircraft (LCA) dapat diputuskan oleh Kementerian Kewangan pada tahun ini,
“Di samping itu, saya juga akan berusaha untuk memastikan keutamaan perolehan Littoral Mission Ship (LMS) untuk TLDM dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan,
“Justeru, saya akan melihat semula keutamaan projek perolehan baharu bagi tahun ini,” jelas Menteri Pertahanan. – airtimes.my