SYDNEY, 4 Jun – Komander, Tentera Udara Pasifik , Amerika Syarikat (AS), Jeneral Kenneth Wilsbach mengecam tindakan 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Kota Kinabalu, pada 31 Mei lepas.
Jeneral Kenneth Wilsbach juga mengutuk tindakan pesawat China terbang berhampiran ruang udara Taiwan.
Beliau berkata, aktiviti penerbangan pesawat China serta peningkatan jumlah pencerobohan ke zon pertahanan udara (ADIZ) Taiwan akan mengugatkan kestabilan dan ketegangan di rantau ini.
“Kita hanya membuat perkiraan yang salah di wilayah berkenaan dengan aktiviti seumpamanya, khususnya masuk ke ruang udara negara lain,” katanya seperti dilaporkan AFP.
Beijing mendakwa Taiwan sebahagian wilayah China dan menyatakan pesawatnya yang terbang berhampiran Borneo di Laut China Selatan, sedang menjalani latihan rutin serta tidak memasuki ruang udara Malaysia.
China telah melanggar keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang mengisytiharkan tuntutannya terhadap hampir semua Laut China Selatan adalah tanpa asas.
Terdapat kebimbingan di kalangan negara Barat yang menyatakan tentera China semakin berkuasa dan akan berusaha menawan Taiwan secara paksa.
Beberapa bulan lalu, kekerapan penerbangan pesawat China di Selat Taiwan meningkat secara drastik, yang mengancam keupayaan pertahanan udara Taiwan.
Menurut Jeneral Kenneth Wilsbach, situasi ini merupakan strategi Beijing bagi memaksa tentera udara Taiwan bertindak balas setiap kali berlaku pencerobohan.
Sebelum ini, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM mengesahkan insiden pencerobohan ruang udara oleh 16 buah pesawat China.
Pesawat tersebut telah dikesan oleh radar pertahanan udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. – airtimes.my