SUBANG, 28 Mac – Dua buah pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa pulang kelengkapan peralatan Hospital Medan Malaysia (HMM) selamat tiba di Pangkalan Udara Subang, pada Isnin.
Kedua-dua pesawat bagi misi OP STRALIGHT itu berlepas dari Turkiye pada 23 Mac lalu dan selamat tiba jam 9.00 pagi.
Pihak TUDM memaklumkan, kedua-dua pesawat diterbangkan oleh Pegawai Memerintah No 8 Skuadron, Leftenan Kolonel Wan Azrul Wan Azmy TUDM bersama 14 anak kapal.
Manakala, pesawat kedua pula telah diterbangkan oleh Mejar Khairul Ikhmal Ishak TUDM bersama 14 anak kapal terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, pegawai kejuruteraan, loadmaster dan anggota teknikal.
Pengoperasian HMM di Turkiye bertujuan menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam dengan kejadian gempa bumi yang berlaku pada 6 Februari lalu.
Pada 10 Februari lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui TUDM telah mengaturgerakan pesawat pengangkut tersebut bagi menghantar kumpulan petugas perubatan dan HMM ke Turkiye.
Hospital Medan tersebut ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). -airtimes.my