KOTA TINGGI, 17 OKT – Pesawat amfibia jenis Bombardier CL-415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diterbangkan ke lokasi kebakaran hutan belukar di Jalan Sebana Cove-Punggai, Pengerang bagi membantu operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadamkan kebakaran, hari ini.
Bantuan diberikan setelah Unit Drone Bomba membuat pemantauan udara selama 3 hari kebakaran hutan terbabit dan mendapati keluasan kebakaran semakin merebak dari anggaran keluasan 2 hektar kepada 30 hektar.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pesawat amfibia itu diatur gerak ke kawasan terjejas setelah menerima permohonan bantuan daripada Pejabat Daerah Kota Tinggi bagi memadamkan kebakaran tersebut.
“APMM mengatur gerak pesawat Bombardier CL-415 ke lokasi kejadian dan melakukan water bombing untuk memadamkan kebakaran,
“Pesawat itu mampu membawa sehingga 6,000 liter air bagi setiap kali water scooping, “ jelasnya dalam kenyataan.
Menurutnya, bagi operasi hari ini, pesawat berjaya membuat 18 kali ‘water bombing’ dan kerja pemadaman akan bersambung esok sehingga keseluruhan kawasan kebakaran berjaya dipadamkan,
Dalam masa yang sama, Nurul Hizam menasihati orang ramai supaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka khususnya berhampiran kawasan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan hutan di kawasan Sebana Cove-Punggai terbakar petang kelmarin.
Beberapa jentera JBPM dari Sebana Cove, Sungai Rengit dan Kota Tinggi dengan kekuatan 18 anggota serta pegawai dikerahkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran. -airtimes.my
#APMM #kebakaran #airtimes #keselamatan