KUALA LUMPUR, 6 Dis – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan terus menyokong aspirasi kerajaan melalui Kertas Putih Pertahanan iaitu meningkatkan taraf sosio ekonomi pesara tentera atau veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas perkhidmatan.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain menjelaskan, pihaknya akan membantu para pesara untuk mendapatkan peluang membina kerjaya kedua dan menyediakan perkhidmatan konsultasi serta Latihan Peralihan.
Jelasnya, TDM akan berusaha membantu golongan ini untuk meningkatkan kebolehpasaran pesara tentera termasuk meneruskan kerjasama sedia ada serta meneroka peluang kerjaya baharu untuk mereka.
“Bagi memastikan projek ini mencapai objektifnya, PTD sendiri akan memantau dari semasa ke semasa pelaksanaan projek ini,
“Projek ini akan diselia oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) serta pihak Tentera Darat sendiri iaitu Markas Tentera Darat – Cawangan Sumber Manusia (MK TD-CSM) serta Pengarah-Pengarah Kor yang terlibat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutup Projek Kerjaya Kedua Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat 2.0 di Dewan Tanjung, Wisma Transit, pada Selasa.
TDM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, projek ini melibatkan seramai 100 anggota TDM yang mengikuti Latihan Peralihan bermula 5 April hingga 30 September 2022 yang terdiri daripada Kor non-technical.
Projek ini merupakan kesinambungan dari Projek Rintis Kerjaya Kedua Anggota LLP TD yang telah dilaksanakan pada tahun 2021.
“Ia bertujuan melengkapkan anggota dengan pengetahuan dan kemahiran bagi membantu anggota mempersiapkan diri untuk merancang kerjaya kedua setelah tamat perkhidmatan,
“Projek ini juga untuk mempertingkatkan potensi diri untuk mengenal pasti peluang pekerjaan setelah bersara kelak,” jelas TDM.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mejar Jeneral Azhan Md Othman; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus; Ketua Pengarah PERHEBAT, Tuan Zakariah Md Sam dan Pegawai-Pegawai Kanan Tentera Darat. -airtimes.my