KUCHING, 17 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ehsan dengan membawa seorang kanak-kanak lelaki yang menghidap penyakit kronik dari Kuching ke Senai, Johor, semalam.
TUDM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, pesawat pengangkut C130 dari No 14 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan telah diaturgerak bagi melaksanakan misi ini.
Pesawat telah berlepas dari Lapangan Terbang Pangkalan Udara Kuching pada jam 9.45 pagi sebaik sahaja pesakit dibawa menaiki pesawat dan selamat tiba di Lapangan Terbang Senai pada jam 11.45 pagi.
“Adik Qayyum Iman Nurbadiz Badru Hisyam, 14 tahun disahkan menghidap penyakit Leukemia (kanser darah) pada tahun ini,
“Pada bulan Oktober 2022, beliau mengalami jangkitan kuman yang teruk sehingga melemahkan sistem badan dan mencederakan otak beliau.
“Akibat kecederaan tersebut, adik Qayyum terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan penjagaan keperluan harian beliau bergantung sepenuhnya kepada penjaga,” jelas TUDM pada Jumaat.
Berikutan dari itu, beliau yang sebelum ini dirawat di Hospital Umum Sarawak perlu dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Johor bagi memudahkan urusan penjagaan beliau bersama keluarga terdekat di kampung ibu bapanya.
Penerbangan ehsan ini telah diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohd Zulazri Ibrahim TUDM selaku juruterbang, Mejar Mohamad Zulkarnain Mohamad Johari TUDM selaku juruterbang kedua manakala Leftenan Amir Ariffudin Aminullah TUDM selaku pembantu juruterbang.
Turut serta dalam penerbangan ini adalah ibu bapa beliau iaitu Encik Badrul Hisyam Abdullah dan Puan Zuraidah binti Rasti@ Apendi, seorang doktor pengiring serta jururawat. -airtimes.my