PUTRAJAYA, 30 Dis – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa setiap janji perlu ditepati termasuklah melepaskan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tun Mahathir berkata sedemikian ketika mengulas cadangan beberapa perwakilan negeri BERSATU, semalam yang mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga dilihat hanya tersenyum dengan sambutan ramai perwakilan yang bersetuju supaya beliau dikekalkan sekurang-kurangnya sehingga PRU-15.
Menurutnya, beliau tidak akan melanggar janji untuk memegang jawatan itu selama dua tahun seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Macam-macam orang ada pendapat. Mereka ada pendapat masing-masing. Ramai yang berdiri.
“Lagipun itu pendapat mereka (perwakilan). Tetapi kena pegang kepada janji,” katanya selepas menghadiri sesi perbahasan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU kali kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.