BANDUNG, 23 Jun – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memperkukuhkan hubungan diplomasi serta kerjasama pertahanan diantara Malaysia dan Indonesia.
Hubungan ini diterjemahkan menerusi lawatan kerja Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM bersempena penganjuran Mesyuarat High Level Committee (HLC) Malaysia Indonesia (MALINDO) kali ke-16 yang dijadual bermula pada 22 hingga 24 Jun ini.
Markas ATM menerusi hantaran di media sosial rasminya berkata, HLC MALINDO adalah sebuah Jawatankuasa Bilateral yang dibentuk di bawah kerangka kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia dimana Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Panglima Angkatan Tentera bertindak sebagai Ketua Bersama HLC.
“Secara tidak langsung, lawatan rasmi ini juga adalah merupakan agenda strategik dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomasi serta kerjasama pertahanan diantara kedua-dua buah negara,
“Ia juga bertepatan dengan Teras Ke-4 dalam Perintah Ulung beliau iaitu Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan melalui pemerkasaan hubungan pertahanan antarabangsa,” jelas hantaran itu.
Menurut Markas ATM, ketibaan Affendi dan rombongan di Lanud Husein Sastranegara telah disambut oleh Pegawai-pegawai Kanan dari Tentara Nasional Indonesia (TNI) sebelum dibawa meninjau ke PT Dirgantara Indonesia (PERSERO).
Kemudian Affendi dibawa melihat fasiliti serta meninjau perkembangan pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang dalam proses kerja menaiktaraf oleh syarikat tersebut.-airtimes.my