LUMUT, 26 Jan – Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yang giat memperjuangkan isu aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) usang dijadualkan akan menyerahkan tugasnya, hari ini.
Cawangan Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut dalam kenyataan berkata, Mohd Reza komited meneruskan tanggungjawab kepemimpinan sebelum ini bagi mengatasi isu berkenaan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan TLDM pada 30 November 2018.
Menurut TLDM, sepanjang beliau memegang jawatan Panglima Tentera Laut, tahap kesiapsiagaan armada TLDM menjadi fokus utama agar tanggungjawab mempertahankan kedaulatan sempadan maritim negara dapat dilunaskan tanpa kompromi walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan situasi global yang mencabar.
“Beberapa inisiatif telah direalisasikan semasa pemerintahan beliau, khususnya bagi menangani aset usang TLDM antaraya ‘Obsolescence Programme’ (OP) dan Program Repowering. Kedua-dua program ini dilaksanakan ke atas kapal-kapal TLDM yang telah berusia,
“OP bertujuan menggantikan struktur (badan kapal) serta keseluruhan sistemnya, kecuali beberapa peralatan legasi seperti meriam. Kapal-kapal yang terlibat dalam program ini adalah dari Skuadron Fast Attack Craft (FAC) M,” menurut kenyataan itu.
Jelas TLDM, sehingga kini sebanyak sebuah kapal dalam proses akhir OP dan 2 buah lagi akan dilaksanakan dalam masa terdekat manakala 8 kapal telah selesai menjalani Program Repowering yang dijalankan untuk menggantikan sistem kuasa gerak iaitu enjin, kotak gear dan ‘propeller’ serta sistem jana kuasa bagi kapal dari skuadron FAC (G).
“Hasil daripada kedua-dua program ini, bukan sahaja telah meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi Armada, malah menjadi inisiatif berkesan dalam menyokong langkah penjimatan sumber kewangan negara,” jelas kenyataan itu lagi.
Selain itu, TLDM menjelaskan, perolehan kapal misi pesisir (LMS) juga diteruskan, yang menyaksikan pentaulihan 4 kapal LMS iaitu Kapal Diraja (KD) KERIS, KD SUNDANG, KD BADIK dan KD RENCONG.
“Kesiagaan TLDM ditambah lagi dengan perolehan kapal pemintas ‘Fast Interceptor Craft (FIC)’ bagi penugasan rondaan, serta penubuhan Skuadron 601 di perairan Malaysia Timur iaitu Skuadron Pesawat Tanpa Pemandu pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” jelasnya lagi.
Terdahulu, Mohd Reza diraikan oleh Navy People di Pangkalan TLDM Lumut sempena persaraan beliau pada Khamis.
Kemuncak majlis adalah ‘Fleet Review’ di perairan Pulau Pangkor, membabitkan 15 kapal, 5 bot pemintas ‘Fast Combat Boat’, 15 bot tempur ‘Rigid-Hulled Inflatable Boat (RHIB)’ dan 8 aset udara.
Mohd Reza menaiki KD Lekiu sebagai simbolik beliau pernah menjadi Pegawai Memerintah kapal berkenaan pada 23 Mei 2002 hingga 31 Mei 2003.-airtimes.my
Galeri gambar: