[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=alUEUznZDaY[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 20 Jul – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuat penelitian dan perbincangan lanjut bagi mengkaji cadangan untuk memperkenalkan cuti sakit haid di negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Yusof berkata, perbincangan lanjut mengenai cadangan itu harus dilaksanakan bersama pihak berkepentingan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan.
“Ia kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan saja membabitkan kesejahteraan pekerja wanita tetapi akan turut memberi implikasi kepada produktiviti dan ekonomi negara,”katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Charles Santiago (PH-Klang) yang meminta Zailah menyatakan adakah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.
Dalam pada itu, beliau berkata, kajian melibatkan 57,000 responden itu dijangka siap pada Oktober ini.
“Kajian sedang dibuat dan akan siap pada Oktober tahun ini. Selepas siap, ia akan dibentangkan kepada kerajaan,”jelasnya.
Sebelum ini, Santiago menggesa penggubalan dan penguatkuasaan segera dasar yang menghendaki majikan membenarkan wanita bercuti sakit haid, jika mereka memerlukannya.
Jelasnya, ia akan menggalakkan kesetiaan dan produktiviti pekerja.-airtimes.my