KUALA LUMPUR, 31 Mac – Malaysia sedang berusaha untuk memasukkan Brunei dan Thailand ke dalam dua Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) dengan negara lain untuk melindungi Laut Sulu serta Selat Melaka.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju TCA perlu dikembangkan menjadi Perjanjian Kerjasama Kuartet dengan pembabitan Brunei.
“Ketika ini, kita sedang menunggu perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah untuk merealisasikan hasrat berkenaan,
“Saya boleh umumkan hari ini bahawa jika Sultan Brunei berkenan dengan cadangan dibuat, kita sedang melihat kepada usaha menukar Perjanjian Kerjasama Trilateral kepada Perjanjian Kerjasama Kuartet,
“Hasil perbincangan bersama rakan sejawat dari Indonesia, Prabowo Subianto dan Filipina, Delfin Lorenzana, kita merasakan sudah tiba masanya untuk memasukkan Brunei dalam perjanjian baharu itu,” katanya dalam sidang media di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa dan Malaysia (MITEC) hari ini.
Terdahulu, Hishammuddin telah menyempurnakan Majlis Penutup Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Mengulas mengenai perbincangan TCA membabitkan Malaysia, Singapura dan Indonesia, Hishammuddin berkata, negara terbabit sedang merancang untuk menerima Thailand dalam kerjasama tersebut pada masa akan datang.
“Ancaman-ancaman yang kita lihat di Selat Melaka, kalau kita tak kenal pasti apa dia ancaman yang perlu kita tangani bersama, susah untuk kita nak melibatkan 4 negara yang berdaulat untuk bekerjasama rapat dalam perkara ini,
“Kita merancang untuk membabitkan Thailand bersama Malaysia, Singapura dan Thailand untuk memperluaskan perjanjian bilateral serantau,
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Singapura, Dr. Ng Eng Hen dan juga Prabowo (Menteri Pertahanan Indonesia) untuk membabitkan Thailand, dan terpulang kepada mereka untuk mempertimbangkan untuk memujuk Thailand menyertai kami,
“Ia bagi membolehkan kita untuk ada satu lagi perjanjian kuartet antara keempat-empat negara dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan di perairan Selat Melaka,” jelasnya.
Beliau berkata, mesyuarat bilateral bersama Indonesia menerusi pameran DSA dan NATSEC 2022 membawa kepada persetujuan untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (MALINDO) pada Julai ini berhubung isu pos kawalan bersepadu.
“Malaysia juga akan mengkaji model Bandung dalam membangunkan industri pertahanan negara,
“Mesyuarat bilateral bersama Brunei pula membawa kepada persetujuan untuk memantapkan aspek pertahanan terutama kerjasama dalam menangani isu keganasan,” ujarnya. -airtimes.my