SERDANG, 9 Okt – Kertas Putih Pertahanan (KPP) adalah perancangan halatuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030 yang akan memenuhi keperluan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara menyeluruh termasuk menangani ancaman siber.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata pelan KPP untuk sekurang-kurangnya 10 tahun ke hadapan turut memberi keutamaan pemodenan perisikan negara dalam pertahanan siber.
“Peralatan siber perlu diperlengkap dan dipermodenkan, memang kita telah ada tetapi perlu dipertingkatkan lagi,
“Untuk menjaga keamanan negara, perisikan perlu mengesan lebih awal segala gerak-geri musuh dalam atau luar negara,” ujar Mohamad kepada media selepas menghadiri Malam Gala sempena Pesta Kor Risik Diraja (PERISIK) pada Sabtu lalu.
Menurut Mohamad lagi, perisikan merupakan satu pasukan terkehadapan untuk mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum diketahui orang ramai.
“Kalau risik tahu kemudian, dia bukan risik. Ertinya perisikan perlu dipertingkatkan dengan peralatan yang baru,” katanya.
KPP yang dibentang di Parlimen oleh Menteri Pertahanan pada 2 Disember lepas turut menggariskan lima objektif utama pertahanan negara.
Antara objektif adalah pembangunan pelbagai domain bagi menghadapi ancaman, mempertingkatkan daya ketahanan dalaman negara, peningkatan kapasiti pertahanan, memajukan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi dan melaksanakan tadbir urus yang baik.