WASHINGTON, 5 Jun – Seorang pegawai Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Amerika Syarikat (AS) didakwa semalam kerana menjual rahsia negara kepada China sebagai balasan menerima bayaran sekurang-kurangnya AS$800,000 (RM3.18 juta).
Jabatan Kehakiman berkata, Ron Rockwell Hansen, 58, dari Syracuse, Utah, ditahan Sabtu lalu ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di sini untuk menaiki penerbangan ke China, bersama maklumat sulit.
Ia adalah siri tangkapan terbaharu pegawai AS yang didakwa mengintip bagi pihak Beijing.
Kertas pendakwaan mengatakan, Hansen, sudah bersara dari tentera AS ketika bekerja dalam perisikan isyarat.
Fasih berbahasa Mandarin dan Russia, dia direkrut pada 2006 untuk bekerja dengan DIA sebagai pegawai kes, seseorang yang merekrut dan menguruskan aset perisikan asing.
Berpusat di pejabat komersial di Beijing, China, Hansen membuat hubungan dengan perisik China dan selama beberapa tahun cuba menonjolkan dirinya dalam DIA dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sebagai ejen muka dua yang bertindak pada akhirnya untuk AS, kata pertuduhan.
Penyiasat mendapati, dia kerap bertemu dengan ejen perisikan China yang tidak pernah dilaporkan, menggunakan telefon sel diberi sumber China dan menyimpan maklumat sulit yang tidak sepatutnya diakses.
Mereka juga mendapati, Hansen mengalami masalah kewangan teruk dari 2013 dan 2016 dengan hutang mencecah ratusan ribu dolar.
Pada tempoh itu, dia menerima lebih AS$800,000 dalam bentuk bayaran dari China, sering kali wang tunai yang dibawa ke AS, namun tidak dapat dijelaskannya.
Menjelang awal tahun ini, FBI mendapat tahu, Hansen berusaha mendapatkan maklumat daripada rakannya berhubung kedudukan AS berkaitan Korea Utara dan Korea Selatan serta operasi ketenteraan dirancang ke atas China, untuk dijual kepada orang hubungan Beijing.
“Dakwaan tindakannya adalah pengkhianatan terhadap keselamatan negara dan rakyat Amerika serta penghinaan kepada bekas masyarakat perisikan,” kata Penolong Peguam Negara untuk Keselamatan Kebangsaan, John Demers.
Januari lalu, bekas ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), Jerry Chun Shing Lee ditahan atas tuduhan dia menjual maklumat kepada China.
Bekas pegawai Jabatan Negara, Kevin Mallory ditahan tahun lalu kerana mengintip bagi pihak China manakala seorang diplomat AS lain, Candace Marie Claiborne, juga ditahan kerana menerima wang daripada pegawai perisikan China, walaupun tidak dituduh secara langsung membekalkan maklumat sebagai pertukaran itu. -AFP