PUTRAJAYA, 24 Apr – Pergerakan pulang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada di kampus dan menyewa luar ke rumah masing-masing bermula pada 27 April 2020 dari jam 9.00 malam hingga 9.00 pagi.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bersetuju membenarkan pergerakan pelajar-pelajar tersebut.
“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad telah membentangkan prosedur operasi standard (SOP) proses penghantaran pulang pelajar IPT dan IPTS di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti,
“Waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran di waktu siang,
Beliau berkata pergerakan pelajar adalah secara berperingkat untuk pulang ke kampung hanya melibatkan zon hijau sahaja.
“Pelajar yang terlibat akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng muka,
“Kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam bas,” katanya.
Seterusnya, setelah mereka sampai ke kampung, pelajar dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah mereka dan kemudian anggota agensi kerajaan yang ditugaskan akan menghantar mereka ke rumah masing-masing.
“Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan,
“Sebagai contoh pelajar dari Selangor, yang berada di kampus di Selangor mereka hanya boleh membawa pulang berkenderaan sendiri di negeri Selangor sahaja dan tidak boleh merentas negeri serta memandu sendiri,
“Sebelum membuat perjalanan, mereka perlu mendapat surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis yang berhampiran,” ujarnya.
Manakala bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak, penerbangan pulang ke negeri masing-masing akan disediakan oleh kerajaan.
“Bagaimanpun, pelajar yang akan pulang ke Zon Hijau di Sabah dan Sarawak akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka dan mereka mesti menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari,” katanya.
Menurut Ismai Sabri, proses penghantaran pulang akan melibatkan sebanyak 85 peratus pelajar IPT di bawah KPT atau sekitar 53 ribu pelajar. Sementara itu, sebanyak 15 peratus pelajar lagi telah memilih untuk kekal di kampus masing-masing.
“Mereka yang memilih untuk terus berada di kampus, KPT akan menyediakan makan minum mereka seperti biasa,
“Pengumuman selanjutnya dan lebih terperinci mengenai pergerakan pelajar akan dibuat oleh pihak KPT,” tambahnya.
Selain itu, bagi pelajar di IPT di bawah kawal selia kementerian lain seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, proses penghantaran pulang perlu mengikuti SOP yang ditetapkan.
Semalam, menerusi Pengumuman Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pelajar-pelajar IPT yang masih berada di kampus boleh pulang ke rumah masing-masing.
“Proses untuk membawa pelajar-pelajar ini pulang sedang dirancang oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ianya teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan,
“Sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar ini akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala COVID 19,” ujar Perdana Menteri.