CAMERON HIGHLANDS, 3 Jan – Isu pencerobohan tanah kerajaan negeri dan hutan simpan di penempatan Orang Asli Pos Terisu, di sini yang kembali berulang, mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri dalam siri lawatan kerja seharinya hari ini.
Dr Wan Azizah berkata, Kerajaan Persekutuan tidak mengambil pendekatan menuding jari kepada mana-mana pihak berhubung isu alam sekitar dan kejadian bencana alam yang berlaku di tanah tinggi itu.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri menegaskan pihaknya akan berusaha mencari penyelesaian terbaik menangani masalah itu di samping memastikan kebajikan penduduk dan pekebun terpelihara.
“Kita boleh cari salah ini, cari salah itu, tetapi apa penyelesaiannya?
“Bukan saja, isu (penerokaan tanah) (untuk) pertanian dan juga pembinaan bangunan tinggi boleh memberi ‘sumbangan’ kepada faktor tanah runtuh.
“Jadi, kita bukan saja mahu tangani isu tanah runtuh tetapi juga isu kebajikan pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bersama persatuan pekebun Cameron Highlands di Tanah Rata di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, Dr Wan Azizah meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat sendiri keadaan di Cameron Highlands khususnya senario penerokaan tanah tanpa kawalan dan pembinaan struktur haram di tanah dan sungai rizab.
Beliau diberi taklimat mengenai kawasan-kawasan yang diceroboh secara haram, cerun risiko dan tapak penerokaan semula serta pencerobohan rizab sungai oleh Pengarah Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Penolong Pengarah Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands Yamin Hafiz.
Taklimat tersebut antara lain memberi penerangan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram dan tanpa kawalan mengundang risiko tinggi berlakunya tanah runtuh yang telah dilakukan oleh pihak luar lebih lima tahun lepas di kawasan 64.7 hektar tanah rizab penempatan Orang Asli di Pos Terisu.