Lumut, 8 April – Panglima Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menegaskan anggota TLDM perlu mematuhi peraturan yang termaktub dalam Peraturan Am Angkatan Tentera iaitu tidak melibatkan diri secara aktif dalam mana-mana parti politik menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Sebagai anggota keselamatan negara, kita perlu bertugas menjaga keselamatan negara tanpa terlibat dengan sebarang unsur politik dan berkempen semasa menjalankan tugas.
Bagaimanapun, undi adalah rahsia dan kita sangat menggalakkan kesemua anggota untuk keluar mengundi dan undilah dengan bijak tanpa dipengaruhi dengan unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Fair Winds and Following Seas 2018 di Dewan Shariff, pangkalan TLDM di Lumut hari ini.
Di majlis ramah mesra itu, hampir 1,000 pesara TLDM diraikan sebagai menghargai jasa dan pergorbanan mereka sepanjang dalam perkhidmatan.
Ahmad Kamarulzaman turut menyampaikan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sijil penghargaan TLDM kepada para pesara.
Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata semasa hari mengundi, anggota TLDM yang ingin pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka akan diberi cuti tanpa rekod bagi memudahkan urusan selain menggalakkan anggota untuk pergi mengundi.
Beliau berkata mana-mana anggota TLDM yang berada di luar negara pula sama ada terlibat dalam operasi dan berada berjauhan dari kawasan tempat mengundi atas urusan tugasan akan dibenarkan mengundi secara pos.
“Kita tetap menggalakkan kesemua anggota TLDM yang berada di luar negara untuk mengundi awal melalui pos dan menjadi tanggungjawab TLDM memberikan kemudahan sewajarnya kepada anggota dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negara,” katanya.