KUALA LUMPUR, 20 Feb – Penganjuran perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam dengan melibatkan senjata memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama dan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berpandangan bahawa penganjur program berkenaan sepatutnya menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan.
“Perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan juga kegelisahan masyarakat,
“Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara,
“Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Sebelum itu, tular di media sosial, gambar dan video sekumpulan Ahli Pemuda PAS berarak dengan membawa replika pedang, lembing dan perisai di Setiu, Terengganu sehingga mencetuskan pelbagai persoalan yang mengaitkan dengan keganasan sera provokasi.
Namun, penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023) itu menjelaskan, perhimpunan seluruh jentera Pemuda PAS Terengganu itu diadakan sejak 1991 lagi dan sudah menjadi acara tahunan.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, walaupun siasatan itu kelihatan tidak logik namun pihaknya bersedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Program Himpit menghimpunkan seluruh jentera pemuda PAS Terengganu diadakan sejak 1991 lagi dan menjadi acara tahunan. Sudah menjadi tradisi lapan Pemuda PAS kawasan membawa replika (pedang dan lembing) serta tema perarakan masing-masing,
“Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, wisma Darul Iman, bahkan ada yang berkuda pada penganjuran HIMPIT kali ini,
“Isu pemakaian seragam perang zaman para sahabat oleh salah satu kontigen hanyalah sebagai sebahagian dari memenuhi tema perarakan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohd Harun menjelaskan, tiada istilah keganasan dan provokasi pada program itu, malah sangat menarik apabila melihat kreativiti wakil Pemuda PAS kawasan mempamerkan idea masing-masing.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpendapat perkara itu perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru pihak semua pihak agar bertanggungjawab kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.
“Apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlulah dielakkan sama sekali,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Rohaimi Md Isa dalam perkembangan berkaitan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan dalam program tersebut sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Katanya, daripada 8 pasukan yang bertanding, hanya satu pasukan yang didapati mengenakan pakaian atau replika senjata.
“Perarakan itu adalah antara acara yang dipertandingkan iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam,
“Kita akan menyiasat bagi mengenalpasti kesalahan dilakukan pada program serta perarakan itu dan mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya. -airtimes.my