[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=nbLvPdCXO7w[/embedyt]
Istilah Blitzkrieg sudah tentu tidak asing lagi bagi kita semua. Ia merujuk kepada strategi peperangan yang telah dilaksanakan oleh Jerman semasa Perang Dunia ke-2.
Bliztkrieg bermaksud serangan kilat sebenarnya mula dicetuskan semasa akhir Perang Dunia Pertama. Pada ketika itu, Jerman menyedari mereka mengalami kelemahan dari segi mobiliti, keupayaan atur gerak atau manuver serangan dan taktik yang fleksibel.
Taktik ini turut dipengaruhi oleh karya yang dihasilkan oleh seorang jeneral Prussia, Carl von Clausewitz. Beliau menekankan konsep serangan berfokus dimana kekuatan ketenteraan digunakan sepenuhnya terhadap musuh.
Kekuatan ini digunakan untuk mengempur sasaran yang terpilih (Schwerpunkt, titik pusat). Taktik sebegini dikatakan lebih efektif berbanding menggerakkan kekuatan ketenteraan secara meluas di medan pertempuran.
Serangan kilat sebegini telah menimbulkan panik dan kekacauan di garisan musuh. Selain mengalami kekeliruan, gerakan pantas sebegini menyukarkan pihak musuh untuk menghantar bantuan atau memperkuatkan barisan pertahanan mereka.
Sepanyol dan Poland: Medan Blitzkrieg pertama
Sebelum Perang Dunia ke-2 tercetus, Jerman telah menguji taktik Blitzkrieg semasa Perang Saudara Sepanyol 1936. Taktik ini diperbaiki dan digunakan semasa serangan terhadap Poland pada 1 September 1939.
Jerman menggunakan kombinasi serangan udara dan darat terhadap kedudukan tentera Poland. Dalam serangan ini, Jerman menggunakan ketumbukan armor mereka untuk mengasak kedudukan sasaran mereka. Pada masa yang sama, ketumbukan Panzer diiringi dengan kekuatan infantri yang kemudiannya disusun sebagai Panzergrenadier pada 1942.
Serangan mengejut terhadap Poland membuka era baharu taktik medan perang di mana peperangan parit (Trench Warfare) seperti Perang Dunia Pertama tidak lagi berlaku. Selain daripada itu, elemen tentera Poland telah terpisah di antara satu sama lain dan dikepung oleh Jerman sebelum ditawan atau ditewaskan.
Selain Poland, taktik Blitzkrieg turut digunakan oleh Jerman untuk menguasai Eropah.
Keupayaan serangan yang dipacu dengan teknologi dan elemen kejutan ini turut memberi kelebihan kepada Jerman semasa menawan Soviet Union. – airtimes.my