KUALA LUMPUR, 7 Okt – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) capai kata sepakat untuk terus memperkukuhkan kerjasama pertahanan termasuk melalui Building Partner Capacity (BPC) Programme.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J Austin pada Rabu, kedua-dua negara turut menyentuh mengenai usaha sama secara spesifik ke arah meningkatkan lagi keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau menjelaskan, kerjasama pertahanan Malaysia-AS kini pada tahap amat kukuh, dengan AS baru-baru ini menyumbang peralatan perubatan kepada Kor Kesihatan Diraja bernilai AS$3 juta.
“Malah, secara keseluruhannya AS telah sumbang lebih USD200 juta untuk tingkat keupayaan pertahanan Malaysia. KD Lekir juga baru pulang selepas diberi penghormatan sertai #RIMPAC2022 di Hawaii,
“Kami juga ambil peluang bertukar pandangan mengenai isu keselamatan semasa termasuk perihal Laut China Selatan dan konflik Ukraine-Rusia. Sebelum berakhir, saya jemput beliau ke LIMA 2023 tahun hadapan termasuk penglibatan U.S. Navy Blue Angels,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Khamis.
Sementara itu, Austin dalam ciapan Twitter berkata, mereka turut membincangkan peluang untuk penjajaran lanjut antara AS dan Malaysia ketika kedua-dua negara mengejar visi bersama mengenai Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
Menurut hantaran itu, kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai beberapa peristiwa penting dalam kerjasama pertahanan AS-Malaysia, termasuk penyempurnaan perjanjian Pertahanan/POW-MIA (tawanan perang yang hilang dalam tindakan) pada Ogos, dan berusaha untuk melengkapkan perjanjian baharu bagi membentuk kerjasama pertahanan menjelang akhir tahun. -airtimes.my