IPOH, 14 MAC – Usaha untuk memburu saki-baki 30 pendatang tanpa izin (PATI) Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor pada 1 Februari lalu giat dijalankan.
Terbaru, etnik tersebut dipercayai bersembunyi bersama komuniti di kawasan terdekat mereka untuk mendapatkan perlindungan bagi mengaburi pihak berkuasa.
Ini berdasarkan modus operandi etnik tersebut yang melarikan diri sebelum ini apabila menjadikan tempat komuniti mereka sebagai kawasan bersembunyi.
Menurut Pengarah Imigresen negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, pihaknya telah mengenal pasti beberapa komuniti Rohingya bagi memburu PATI yang masih bebas.
Bagaimana pun, pihaknya enggan mendedahkan maklumat lanjut tetapi memberitahu pemantauan telah dijalankan.
“Proses mencari baki 30 PATI itu belum berhenti dan masih diteruskan dalam skala kecil.
“Kita percaya PATI terbabit dipercayai masih berada dalam negeri Perak termasuk di daerah berdekatan,” ujarnya.
Meor Hezbullah baharu mengambil alih tugas sebagai Pengarah Imigresen negeri Perak.
Pada 16 Februari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan pencarian terhadap baki tahanan PATI akan dilakukan berdasarkan maklumat awam.
Setakat ini, seramai 101 daripada 131 pendatang asing berkenaan telah ditahan manakala dua lagi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya.
Susulan insiden itu, 435 tahanan di Bidor dipindahkan ke enam depoh tahanan iaitu Machap di Melaka, Lenggeng (Negeri Sembilan), Bukit Jalil (Kuala Lumpur), Kemayan (Pahang) dan Langkap (Perak).
Bagaimana pun, anggota Imigresen masih ditempatkan di Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor manakala kerja-kerja membaiki beberapa kerosakan di situ sedang dijalankan.
Apa yang mencuri tumpuan, insiden tahanan PATI lolos ini juga telah menyaksikan implementasi doktrin Keselamatan Menyeluruh atau ‘Comprehensive Securit’y’ (COMSEC) oleh masyarakat setempat.
Ini apabila bantuan penduduk kampung serta masyarakat setempat berjaya mengesan dan menangkap sebahagian PATI dalam tempoh 48 jam selepas kejadian.
COMSEC yang diperkenalkan 2 tahun lalu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah suatu doktrin baharu bagi menggantikan konsep Pertahanan Menyeluruh atau HANRUH. – airtimes.my
#Malaysia #Keselamatan #PATI