LUMUT, 3 Ogos – Seramai 304 warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkongsi kepakaran serta pengetahuan dalam Eksesais Angkasa Samudera Siri 14/23 (Eks ANGSA) yang diadakan bermula 28 Julai lalu.
Pihak TLDM memaklumkan, penganjuran kali ini mengetengahkan aspek 3P iaitu People, Process dan Platform dalam melaksanakan eksesais secara Field Training Exercise (FTX).
Menurut TLDM, antara pengisian utama yang telah dilaksanakan adalah siri pembelajaran dan pengajaran daripada pelbagai pakar dalam bidang tertentu (Subject Matter Expert).
Antara siri pembelajaran yang dilaksanakan adalah seperti Samudera Medik iaitu perkongsian oleh pakar perubatan berkenaan bantuan awal kecemasan dan tindakan rawatan pesakit yang menjurus kepada situasi peperangan atau operasi.
Perkongsian ini telah diselia oleh Kor Kesihatan Diraja (KKD) yang berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan Kota Kinabalu. Pasukan kesihatan juga bakal terlibat sebagai Medical Afloat Support Team (AST) di kapal-kapal semasa fasa laut bermula.
Selain itu, turut diadakan Konferensi Logistik iaitu perkongsian yang menghimpunkan kesemua pegawai yang berkepakaran Kejuruteraan/Teknikal serta Bekalan/Urusetia dalam memastikan objektif dan peranan logistik dalam menyokong kejayaan eksesais tercapai.
“Sesi diskusi dan perkongsian menekankan pengoperasian logistik yang mampan serta langkah proaktif dan efektif dalam penyelesaian masalah berkaitan operasi kapal yang mampu menggugat kesiagaan armada terutama ketika beroperasi di laut,
“AST Logistik turut mengikuti pelayaran kapal-kapal TLDM dalam fasa berikutnya bagi memberi bantuan awal ketika menghadapi sebarang insiden berkaitan logistik di laut,” jelas TLDM dalam satu hantaran di media sosialnya malam tadi.
Seterusnya, TLDM memaklumkan, Taklimat Ilmu Kelautan, Latihan Mengawal Kebanjiran dan Melawan Api (MKMA), Peperangan serta Komunikasi turut diadakan di sekitar kapal TLDM sepanjang 4 hari di Tambatan Pangkalan Lumut.
“Dengan fokus ‘refresh and react’, Bahagian Kesiagaan Markas serta SME Eksekutif/Pelaut mengambil inisiatif memahirkan warga dengan perkongsian ilmu dan praktikal semasa di pelabuhan,
“Ini turut bertujuan meminimumkan sebarang ketidakpatuhan prosedur dan pengendalian peralatan ketika evolusi di laut nanti,” tambah TLDM lagi.
Tambah TLDM, Taklimat Operasi Udara yang memfokuskan kepada operasi udara melibatkan pesawat atau helikopter dan kapal turut dilaksanakan dalam eksesais tersebut.
Sesi berkenaan diadakan bertunjangkan kepada keselamatan dalam kepatuhan prosedur latihan Winching, Latihan Pendaratan Dek dan penerangan tentang Prosedur Operasi Pertahanan Udara Maritim.
“Selain itu, sesi Command Team Training (CTT) yang melibatkan pegawai tertinggi (Command Team) dalam sebuah kapal turut dilaksanakan sebagai persediaan menghadapi peperangan maritim,
“CTT turut dilaksanakan bertujuan sebagai penasihat kepada Pegawai Memerintah dan Command Team membuat penilaian serta keputusan terbaik ketika menghadapi ancaman dalam operasi kelak,” ujarnya lagi.
Cabaran ketangkasan dan keupayaan Pasukan Khas Laut (PASKAL) iaitu Combat Fitness Challenge (CFC) turut terlaksana dalam siri eksesais kali ini.
“3 disiplin dalam operasi khas maritim iaitu fizikal air, fizikal darat dan kemahiran menembak telah menjadi intipati dalam CFC ini,
“Ianya telah dijayakan oleh 42 peserta yang telah melalui 6 elemen pertandingan yang berkesinambungan bermula dengan Kayuhan dan Renang Tempur, Perarakan Tempur dan Kompas Tempur dan berakhir dengan Menembak,” jelas hantaran itu lagi.
Selain itu, pelbagai program lain yang mendukung kepada intipati fasa pelabuhan ini telah berlangsun termasuklah Taklimat Pra Pelayaran dan Taklimat Utama Eksesais yang menjadi tumpuan bagi kesemua warga.
Jelasnya, kredibiliti dan keupayaan warga serta aset akan terus diuji dengan fasa Force Integration Training di sekitar Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Terdahulu, majlis perasmian Eks ANGSA Siri 14/23 ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob pada Selasa.
Beliau berkata, Eks ANGSA ini menerapkan elemen kebersamaan antara TLDM dan TUDM bagi memperkasa domain maritim dalam mempertahankan kedaulatan negara. -airtimes.my